AGENDAJENAYAH

811 individu ditahan, dadah bernilai lebih RM300,000 dirampas dalam Ops Tapis

KOTA BHARU, 6 NOV: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan merampas pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM313,962.93, dalam Operasi Tapis Bersepadu bermula 23 Oktober hingga semalam.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata dalam operasi itu 811 individu berusia antara 16 hingga 71 tahun ditahan, membabitkan 799 lelaki, perempuan (12) termasuk empat pelajar sekolah dan seorang penuntut institusi pengajian tinggi.

“Kesalahan yang dikesan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 dan Akta Racun 1952.

“Antara dadah yang dirampas pula ialah pil yaba, syabu, heroin, ganja, pil ecstacy, ketamin, kodein, Eramin 5, air dan daun ketum, pil psikotropik serta serbuk MDMA,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Muhamad Zaki berkata kesemua dadah yang dirampas itu dianggarkan boleh digunakan 39,639 orang penagih dadah sekiranya terlepas ke pasaran.

Beliau berkata selain dadah, pihaknya turut menyita pelbagai jenis harta termasuk kenderaan, wang tunai, wang dalam akaun dan barang kemas yang dianggarkan bernilai RM500,343.01 mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, menjadikan nilai rampasan dadah dan sitaan harta dianggarkan bernilai RM814,305.94.

“Polis Kelantan khususnya JSJN akan terus berusaha membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di negeri ini dan berharap masyarakat menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling mereka melalui HOTLINE JSJN di talian 012-2087222,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :