EXCO Pengguna Datuk Rizam Ismail meninjau barangan asas sempena Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali di pasaraya Mydin, Subang Jaya. Turut hadir Pengarah Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri Mohd Zuhairi Mat Radey dan Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin pada 9 November 2023. Foto SOFIA NASIR/SELANGORKINI.
AGENSISELANGOR

99 peratus peniaga ayam di Selangor patuhi harga, tiada aduan pengguna

SUBANG JAYA, 9 NOV: Hampir 99 peratus peniaga ayam di Selangor tidak menaikkan harga susulan pelaksanaan pengapungan harga bagi bahan mentah itu sejak Rabu lalu.

Pengarah Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri Mohd Zuhairi Mat Radey berkata tiada aduan rasmi diterima daripada pengguna berhubung perkara itu.

“Berdasarkan pemantauan selama sembilan hari, kami mendapati pematuhan adalah sebanyak 99 peratus dimana harga ayam yang dijual lebih murah berbanding RM9.40 sekilogram.

“Hanya ada satu atau dua premis yang jual melebihi harga. Mengenai aduan, saya sendiri terkejut kerana tidak ada langsung aduan daripada pengguna setakat ini,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu beliau meninjau barangan asas sempena Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali di pasaraya Mydin di sini, hari ini. Turut hadir EXCO Pengguna Datuk Rizam Ismail dan Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin.

EXCO Pengguna Datuk Rizam Ismail meninjau barangan asas sempena Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali di pasaraya Mydin, Subang Jaya. Turut hadir Pengarah Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri Mohd Zuhairi Mat Radey dan Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin pada 9 November 2023. Foto SOFIA NASIR/SELANGORKINI.

Sementara itu, Ameer menyambut baik pelaksanaan pengapungan harga ayam selain berharap lebih banyak barangan asas lain turut dikuat kuasa sama.

Menurutnya, harga barangan kawalan mudah dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab berbanding harga yang diapungkan kerana ia tertakluk kepada bekalan.

“Kalau boleh saya mahu apungkan harga untuk semua barangan, secara perlahan-lahan sehingga lama-lama kita tidak perlu lagi skim kawalan. Hanya perlu dipantau sahaja.

“Kadang-kadang kalau harga dikawal tetapi barangan itu tiada bekalan. Kalau diapungkan, harga akan naik sedikit tetapi sekurang-kurangnya ada bekalan. Bekalan lebih penting berbanding harga,” katanya.

Pada 30 Oktober lalu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu mengumumkan subsidi dan kawalan harga ayam ditamatkan berkuat kuasa 1 November.

Keputusan itu selaras dengan pendekatan penyasaran semula subsidi secara berfasa yang mahu dilaksana kerajaan.


Pengarang :