Kira-kira 200 penduduk di Taman Semenyih Indah dan Kampung Bangi Lama dipindahakan ke Balai Raya Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Bangi dan Tadika Perpaduan Taman Bangi Ria selepas rumah mereka terjejas banjir pada 5 November 2023. Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor
ADNBERITA UTAMASELANGOR

ADN Kajang tubuh jawatankuasa khas tangani banjir

SHAH ALAM, 10 NOV: Satu jawatankuasa khas banjir membabitkan beberapa agensi akan ditubuh di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang dalam masa terdekat.

Ahli Dewan Negeri Cheong Kian Young berkata antara agensi terlibat ialah Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Kerja Raya dan Pejabat Tanah dan Daerah.

ADN Kajang Cheong Kian Young

“Buat masa ini, kerja-kerja menangani banjir kurang sistematik, namun dengan adanya jawatankuasa khas semua pihak akan bekerjasama dalam menyelesaikan isu tersebut.

“Saya jangka pertemuan bersama semua agensi itu akan diadakan selepas selesai sidang dewan supaya masalah banjir ditangani segera untuk jangka masa panjang,” katanya kepada Selangorkini.

Tambah Kian Young, pihaknya juga telah mengadakan pertemuan bersama MPKj bagi mencari penyelesaian kawasan yang sering dinaiki air di Saujana Impian, Jalan Reko, Kampung Bukit Badong dan Sungai Sekamat.

“Kita sentiasa siap sedia dan pastikan tindakan awal diambil supaya rakyat tidak terus terbeban dengan masalah ini. Sebab itu kita mahu jawatankuasa ini segera ditubuhkan,” katanya.

Setakat 9 malam tadi jumlah mangsa banjir yang berlindung di pusat pemindahan sementara di Selangor berkurang kepada 702 mangsa daripada 180 keluarga berbanding 740 mangsa banjir daripada 186 keluarga dilaporkan pagi semalam.


Pengarang :