Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad meluangkan masa menyantuni mangsa banjir Kampung Tanjung Siam, Bestari Jaya pada 27 November 2023. Foto Facebook Dr Dzulkefly
ADNSELANGOR

Ahli Parlimen Kuala Selangor ziarah 47 mangsa terjejas air pasang besar

SHAH ALAM, 27 NOV: Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad meluangkan masa menyantuni mangsa banjir Kampung Tanjung Siam, Bestari Jaya pagi tadi.

Dr Dzulkefly memaklumkan seramai 47 mangsa membabitkan 16 keluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Abdul Aziz Shah (SAAS) sejak awal pagi tadi.

“Alhamdulillah pagi ini saya berkesempatan meluangkan masa menziarahi mangsa banjir Kampung Tanjung Siam yang ditempatkan d PPS SK SAAS, Kampung Kuantan.

“Kali ini, jumlah mangsa banjir akibat air laut pasang besar adalah seramai 16 keluarga melibatkan 47 orang,” katanya menerusi Facebook.

Beliau turut menyampaikan sumbangan peribadi dan bantuan barangan keperluan selain mendengar penerangan mengenai keadaan semasa daripada pihak berkaitan.

“Saya harapkan semua warga penduduk sentiasa menjaga keselamatan dan kesihatan di musim monsun yang tidak menentu ketika ini,” katanya.

Fenomena air pasang besar disusuli hujan lebat mengakibatkan Kampung Tanjung Siam dilimpahi air setinggi 0.5 meter sejak awal pagi tadi.

Pejabat Daerah dan Tanah Klang sebelum ini memaklumkan bacaan paras air laut dijangka meningkat setinggi 5.2 meter hari ini dan 5.1 meter esok yang mungkin membawa risiko banjir.


Pengarang :