Penduduk setempat menyertai majlis rewang sempena program Kita Madani Daerah Hulu Langat anjuran Jabatan Penerangan (JaPen) Selangor di Agora Night Market, Taman Sri Naning, Dusun Tua pada 5 Mei 2023.Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Ampang, Hulu Langat jadi perintis Rewang Komuniti Strata

SHAH ALAM, 18 NOV: Rewang Komuniti Strata bakal dianjur tahun depan melibatkan Ampang dan Hulu Langat yang dipilih sebagai kawasan perintis projek berkenaan.

EXCO Pembangunan Bandar Lestari Borhan Aman Shah berkata program itu akan menjadi acara tahunan melibatkan semua kawasan strata di Selangor jika mendapat sambutan.

“Kerajaan Negeri beri peruntukan RM500,000 sebagai permulaan projek ini, kita akan mendapatkan nasihat daripada Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor kawasan yang sesuai untuk anjurkan program ini.

“Tujuan rewang ini juga bagi menghidupkan komuniti kejiranan di pangsapuri lama di kawasan bandar dan ini juga masa terbaik untuk pemimpin luang masa bertemu rakyat,” katanya.

EXCO Pembangunan Bandar Lestari Borhan Aman Shah menyampaikan anugerah kepada badan pengurusan bersama (JMB) terbaik pada Hari Anugerah Laman Hijau tahun 2023 di Pusat Konvensyen Midlands Seksyen 7 Shah Alam. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Hari Anugerah Laman Hijau 2023 di Pusat Konvensyen Midlands Seksyen 7 di sini hari ini.

Borhan menambah Rewang Komuniti Strata akan dianjur selama dua hari satu malam dengan pelbagai pengisian menarik.

Jelasnya, antara cadangan aktiviti adalah kenduri rakyat, gotong-royong, program ilmiah selain sesi ziarah penduduk kurang bernasib baik bersama agensi terlibat.


Pengarang :