Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Dato Seri Amirudin Shari (barisan kedua, dua dari kanan) ketika Kongres Nasional KEADILAN 2023 di PICC Putrajaya pada 26 November 2023. Foto Facebook Amirudin Shari
AGENDANASIONAL

Angkat martabat orang Melayu dengan ilmu, bukan propaganda ketakutan

SHAH ALAM, 26 NOV: Memahami sejarah dan mengambil berat permasalahan rakyat merupakan ciri-ciri seorang pemimpin, bukan menakut-nakutkan orang Melayu dengan pelbagai tuduhan melulu, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan antara contoh pemimpin Melayu yang mengutamakan rakyat dan berani melawan menggunakan ilmu.

“Sejarah Melayu ajar nak jadi pemimpin kena turun ke bawah, perdana menteri bukan hanya turun ke majlis rasmi, (beliau) turun ke tandas, ke sekolah, ini contoh Melayu dalam karya sastera, bukan sebut Melayu dan takutkan orang Melayu,” katanya merujuk karya Sulalatus Salatin.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan Kongres Nasional KEADILAN 2023 di PICC Putrajaya hari ini.

Menurut Amirudin, pemimpin pembangkang sebaliknya mengulang-ulang istilah liberal, bukan Melayu untuk menarik perhatian golongan majoriti di negara ini.

“Kita nak terangkan bahawa kita nak angkat Melayu bukan dengan ketakutan tetapi nak angkat semua Melayu, Cina, India, (kaum di) Sabah dan Sarawak dengan fikiran terbuka dan ilmu pengetahuan, bukan dengan ketakutan dan propaganda,” katanya.

Beliau juga yakin KEADILAN mampu bertahan sehingga 100 tahun berdasarkan idea dan semangat yang dibawa Anwar yang juga presiden parti selain kesetiaan yang ditunjukkan pimpinannya.

“Dasar kita kosisten dalam membawa obor dan semangat perjuangan ini dan insya-Allah kalau ia didukung, difahami, dihayati dengan penuh rasa kecekalan oleh pimpinan-pimpinan di peringkat akar umbi, kita bukan hanya boleh bertahan dua, tiga penggal,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Selangor turut gembira dengan veteran parti yang kekal utuh mendukung perjuangan sejak penubuhan parti reformasi itu pada 1998.

“Reformasi kekal sebagai api dan cahaya yang terus berkobar-kobar dalam semangat dan juga warga negara kita,” katanya lagi.


Pengarang :