Kampung Tersang, Rantau Panjang, Pasir Emas dilanda banjir pada 27 November 2023 susulan hujan beberapa hari sebelum ini. Foto Facebook BERNAMA
AGENDANASIONAL

Banjir di Selangor pulih sepenuhnya, Kelantan, Terengganu bertambah baik

KUALA LUMPUR, 28 NOV: Banjir di Selangor pulih sepenuhnya manakala di Terengganu dan Kelantan bertambah baik apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di kedua-dua negeri itu terus mencatatkan penurunan pada malam ini.

Di Selangor, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia negeri memaklumkan PPS terakhir iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Abdul Aziz di Kuala Selangor ditutup 4.51 petang tadi.

Di Terengganu, mangsa banjir menurun apabila 31 mangsa daripada tujuh keluarga masih berada di dua PPS setakat 8 malam ini, berbanding 40 orang daripada 10 keluarga pagi tadi.

Ia melibatkan daerah Kuala Terengganu dengan 22 mangsa daripada lima keluarga yang berlindung di PPS SK Atas Tol, manakala di Setiu, sembilan mangsa daripada dua keluarga ditempatkan di PPS SK Kampung Rhu Sepuluh.

Sementara itu, PPS SK Tok Kah di Dungun ditutup hari ini selepas semua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing tengah hari tadi.

Di Kelantan pula, jumlah mangsa menurun kepada 438 orang daripada 137 keluarga setakat 8.03 malam ini, berbanding 463 orang daripada 142 keluarga pagi tadi di empat PPS di jajahan Pasir Mas dan Bachok.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), di Pasir Mas 238 mangsa melibatkan 82 keluarga di PPS SK Tok Deh, manakala 65 mangsa daripada 19 keluarga kekal ditempatkan di SK Kedai Tanjong.

Di jajahan Bachok pula, 68 mangsa daripada 20 keluarga ditempatkan di SK Jelawat dan 67 mangsa daripada 16 keluarga kekal mendapat perlindungan di SMK Beris Panchor.

– BERNAMA


Pengarang :