Suasana pusat pemindahan sementara (PPS) SMK Dengkil pada 7 November 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Banjir Selangor makin pulih, jumlah mangsa berteduh di PPS menurun

KUALA LUMPUR, 27 NOV: Keadaan banjir di Terengganu, Kelantan dan Selangor beransur pulih apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) mencatatkan penurunan pada malam ini.

Di Terengganu, situasi banjir hampir pulih sepenuhnya apabila hanya 55 mangsa daripada 13 keluarga yang masih berada di PPS membabitkan tiga daerah setakat 8 malam ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT) memaklumkan di Kuala Terengganu, sebanyak 40 mangsa daripada sembilan keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Atas Tol.

Sementara itu, enam mangsa daripada dua keluarga masih berada di PPS SK Tok Kah di Dungun, manakala sembilan orang daripada dua keluarga masih berlindung di dua PPS yang masih beroperasi di daerah Setiu.

JPBNT turut memaklumkan dua PPS ditutup hari ini selepas kesemua mangsa yang berdaftar dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Di Kelantan pula, jumlah mangsa banjir menurun dengan 515 orang mangsa daripada 153 keluarga dilaporkan masih berlindung di empat PPS di dua dearah iaitu Pasir Mas dan Bachok, setakat 7.32 malam tadi.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 246 mangsa daripada 84 keluarga masih ditempatkan di PPS SK Tok Deh dan 65 mangsa daripada 19 keluarga ditempatkan di SK Kedai Tanjong di Pasir Mas.

Di Bachok pula, 137 mangsa daripada 34 keluarga ditempatkan di SK Jelawat dan 67 mangsa daripada 16 keluarga ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beris Panchor.

Manakala di Selangor, jumlah mangsa turut mencatatkan penurunan kepada 34 orang daripada 14 keluarga berbanding 83 orang daripada 29 keluarga yang dilaporkan pada pagi tadi.

Menurut laman sesawang Info Bencana JKM, hanya satu sahaja PPS di daerah Kuala Selangor iaitu SK Sultan Abdul Aziz masih beroperasi, selepas PPS Balai Raya Rantau Panjang ditutup tengah hari tadi.

– BERNAMA


Pengarang :