Badrul Hisyam Badaruddin, 39, (tengah) menemani isteri Robi Mohd, 40, (kiri) yang baru melahirkan bayi lelaki sambil diperhatikan ibunya Zawiyah Sulaiman, 64, ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Chendering pada 21 November 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Bapa bawa bayi berusia dua hari, ahli keluarga berpindah ke PPS

KUALA TERENGGANU, 21 NOV: Demi keselesaan dan keselamatan seluruh ahli keluarga, suami isteri yang baru menyambut kelahiran bayi lelaki mereka memutuskan untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Chendering di sini.

Badrul Hasyim Badaruddin, 39, berkata walaupun berat untuk berpindah namun mengambil kira keselesaan bayi yang baharu berusia dua hari, isterinya Robi Mohd, 40, yang masih dalam tempoh berpantang, kedua orang tuanya serta lapan lagi anaknya, dia tekad menghubungi anggota penyelamat untuk datang ke rumahnya.

“Kalau tidak memikirkan kesemua lapan anak dan isteri serta orang tua, saya mungkin tidak berpindah ke PPS ini. Ini pengalaman kali pertama saya menumpang teduh di PPS sepanjang hidup saya.

Mangsa banjir ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Chendering, Kuala Terengganu pada 21 November 2023. Foto BERNAMA

“Bagaimanapun, sebagai ayah, saya perlu buat keputusan tepat walaupun sebenarnya berat hati untuk meninggalkan rumah,” katanya ketika ditemui di PPS SK Chendering hari ini.

Menurut Badrul Hasyim, ini kali pertama rumahnya dinaiki air, dan yang membimbangkan adalah limpahan air dari parit berdekatan rumahnya yang disifatkan kotor.

Badrul Hasyim yang bekerja sebagai penyelaras insurans itu berkata pada mulanya dia berbelah bahagi untuk berpindah kerana trend paras air tidak menentu berserta hujan lebat.

“Hujan lebat menyebabkan air naik kira-kira 4 pagi semalam, kemudian ia surut semula lepas zuhur. Tapi, disebabkan hujan di sebelah petang yang tidak henti-henti air masuk semula ke rumah saya.

“Kerusi dan meja juga habis digunakan untuk tempatkan perabot lain. Kasihan pula lihat anak, isteri dan orang tua tiada tempat selesa untuk duduk, maka ke sinilah kami 12 orang sekeluarga,” katanya.

Jalan raya yang menghubungkan Chendering ke Kampung Kedai Buluh ditutup kepada kenderaan ringan selepas dinaiki air berikutan hujan lebat sejak beberapa hari lalu ketika tinjauan di Kampung Alor Surau Panjang, Kuala Terengganu pada 21 November 2023. Foto BERNAMA.

Sementara itu, Badrul Hasyim berpuas hati dengan layanan diberikan semua pihak, selain kelengkapan dan keperluan asas juga terjamin di PPS SK Chendering yang menempatkan 187 mangsa daripada 55 keluarga setakat 4 petang tadi.

Terengganu yang kini mencatatkan 2,751 mangsa banjir, menunjukkan trend peningkatan merupakan antara negeri diramal oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) akan menerima taburan hujan lebat susulan Monsun Timur Laut bermula 11 November lalu dan dijangka berterusan hingga Mac depan.

Buat masa ini, 18 PPS dibuka di lima daerah iaitu Kuala Nerus sebanyak sembilan PPS, Kuala Terengganu (empat PPS); Setiu dan Marang masing-masing dua PPS dan Besut yang menjadi daerah terbaru terkesan banjir petang ini dengan sebuah PPS dibuka di SK Kuala Besut.

– BERNAMA


Pengarang :