Keadaan bazar di Uptown Kota Damansara yang musnah dalam kebakaran pada 20 November 2023. Foto Facebook BERNAMA
AGENDANASIONAL

Bomba: Kawasan Uptown Kota Damansara dipenuhi bahan mudah terbakar

SHAH ALAM, 21 NOV: Kawasan Uptown Kota Damansara dipenuhi bahan mudah terbakar menyebabkan api merebak dengan pantas malam tadi, kata Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon 1 Shah Alam Ahmad Zaidi Safuan berkata pihaknya terpaksa menggunakan teknik kepungan untuk memadam kebakaran sepenuhnya, lapor Berita Harian.

Beliau menjelaskan punca kejadian sedang dikenal pasti dan dijangka selesai esok, manakala kawasan tersebut ditutup sementara waktu sehingga siasatan berkenaan selesai.

“Keseluruhan (kawasan) Uptown ini adalah ‘bahan bakar’, ketika pasukan penyelamat sampai, api marak dengan besar dan kita terpaksa menggunakan teknik kepungan untuk padam kebakaran,” katanya.

Sementara itu, pemilik gimnasium di situ Mazalan Abdul Manan, 53, berkata asap tebal bermula dari sebuah gerai merebak ke gimnasiumnya yang ketika itu terdapat 15 pelanggan sedang bersenam.

Bagaimanapun, beliau lega kejadian itu tidak berlaku pada hujung minggu berikutan kawasan itu sering dipenuhi pengunjung yang juga meletakkan kenderaan di bahu jalan.

“Jalan-jalan di sekeliling bazar selalunya dipenuhi kenderaan yang diletakkan di tepi jalan, bayangkan jika kejadian ini berlaku pada hujung minggu,” katanya.

Dalam kejadian malam tadi, kira-kira 20 gerai di situ terbakar 90 peratus, selain terdapat bangunan yang menempatkan gimnasium turut terbakar 50 peratus.


Pengarang :