Pasukan bomba menjalankan operasi menyelamat kanak-kanak tersepit pada tingkap rumah di Pangsapuri Pasir Puteri, Ujong Pasir, Melaka pada 27 November 2023. Foto Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
AGENDANASIONAL

Bomba selamatkan kanak-kanak tersepit pada tingkap rumah

MELAKA, 27 NOV: Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun diselamatkan anggota bomba selepas tersepit pada tingkap rumahnya di Pangsapuri Pasir Puteri, Ujong Pasir di sini hari ini.

Difahamkan kejadian dipercayai berlaku ketika kanak-kanak itu cuba membantu menghulurkan kunci kepada bapanya yang berada di luar rumah melalui laluan koridor tingkat tiga pangsapuri itu kerana pintu hadapan rumah mereka terkunci.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh Pegawai Bomba Kanan II Mohd Nor Mohd Sheh berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian kira-kira 1.10 tengah hari dan enam anggota bomba tiba di lokasi terbabit enam minit kemudian.

“Kunci itu tidak sempat diberikan (kepada bapanya) kerana mangsa telah tersepit. Bapa kanak-kanak itu cuba membantu dengan memecahkan tombol pintu, namun pintu itu tidak berjaya dibuka.

“Apabila tiba di rumah itu, pihak bomba terpaksa memecahkan pintu berkenaan dan mendapati kanak-kanak terbabit tersepit pada celah tingkap,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata pasukan bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan mangsa tanpa mengalami sebarang kecederaan.

– BERNAMA


Pengarang :