Anggota Bomba menyelamatkan seorang wanita yang terperangkap di kandang lembu ternakannya akibat banjir di Kampung Air Kuning, Jalan Linggi, Rantau pada 14 November 2023. Foto Facebook Balai Bomba dan Penyelamat Rantau
AGENDANASIONAL

Bomba selamatkan wanita terperangkap di kandang lembu akibat banjir

SEREMBAN, 14 NOV: Pasukan bomba membantu menyelamatkan seorang wanita yang terperangkap di kandang lembu ternakannya akibat banjir di Kampung Air Kuning, Jalan Linggi, Rantau, petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Mohd Syazwan Saidy berkata pihaknya menerima panggilan daripada anak lelaki wanita itu, R.Sehtu Raj memaklumkan ibunya, G.Santhi, 58, terperangkap di dalam pondok yang dinaiki air di kawasan kandang lembu berkenaan.

“Tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati wanita itu sedang berdiri di atas kerusi di dalam pondok sambil memeluk tiang. Anak wanita itu turut memaklumkan menjadi rutin setiap petang, ibunya ke kandang berkenaan bagi kerja pembersihan.

“Hujan lebat sejak 1.30 tengah hari tadi menyebabkan air sungai berdekatan naik mendadak. Wanita itu sempat menghubungi anak lelakinya untuk mendapatkan bantuan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata terdapat lapan lembu di kandang itu dan kesemua haiwan ternakan itu selamat.

Menurut Mohd Syazwan pasukan bomba yang terdiri daripada lapan anggota dan lima anggota polis menggunakan laluan alternatif untuk ke kandang itu dengan bantuan penduduk setempat akibat jambatan runtuh.

Operasi menyelamat katanya, ditamatkan kira-kira 5.30 petang.

– BERNAMA


Pengarang :