EXCO Pemberdayaan Usahawan Najwan Halimi menjawab soalan ketika sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 16 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Caj perkhidmatan tampung operasi, Hijrah sasar bantu ramai peniaga

SHAH ALAM, 16 NOV: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) berdepan kehilangan hasil RM21.3 juta dalam tempoh lima tahun akan datang jika caj perkhidmatan 10 peratus tidak dikenakan.

EXCO pemberdayaan usahawan berkata caj itu yang dikenakan sejak 1 September bertujuan menampung kos operasi Hijrah seterusnya membantu lebih ramai usahawan pada masa depan.

Najwan Halimi juga menjelaskan Hijrah yang bermatlamat membantu peniaga kecil hanya menerima dana pada awal penubuhan pada 2015 tetapi tidak menerima sebarang peruntukan geran operasi.

“Sejak ditubuh, operasi Hijrah ditanggung caj khidmat lapan peratus yang dikenakan atas pembiayaan. Pada 2022, caj kepada peminjam bawah RM30,000 diturunkan kepada empat peratus.

“Ini akan mengakibatkan Hijrah mengalami kekurangan pendapatan RM21.3 juta untuk tempoh lima tahun akan datang,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.

Menjawab soalan wakil rakyat Sungai Panjang Mohd Razali Saari, Najwan turut menambah kenaikan peratusan berkenaan selaras kadar caj yang dikenakan Amanah Ikhtiar Malaysia.

“Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) mengenakan kadar empat peratus walau kos operasinya ditanggung kerajaan,” katanya lagi.

Seramai 58,464 peniaga kecil dibantu bagi memulakan atau mengembangkan perniagan menerusi dana lebih RM768.8 juta setakat Jun 2023. Seramai 34,823 daripadanya usahawan wanita.

Hijrah juga mengadakan bimbingan percuma termasuk kelas strategi TikTok untuk meningkatkan perniagaan dan kursus pemasaran supaya produk mereka berdaya saing di dalam dan luar negara.


Pengarang :