Ahli Dewan Negeri Balakong Ong Chun Wei meninjau cerun runtuh di Taman Cheras Mas, Cheras, Hulu Langat, Kajang pada 26 November 2023. Foto Facebook Ong Chung Wei
ADNSELANGOR

Cerun runtuh di tanah persendirian, MPKj arah pemilik baik pulih lokasi terjejas

SHAH ALAM, 27 NOV: Pihak berkuasa tempatan (PBT) mengeluarkan notis arahan pembaikan terhadap pemilik tanah susulan runtuhan cerun Taman Cheras Mas, Cheras, Hulu Langat Sabtu lalu.

Wakil rakyat Balakong Ong Chun Wei berkata siasatan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) semalam, mendapati runtuhan cerun setinggi 20 hingga 30 meter berada dalam kawasan lot persendirian dan bukan rizab kerajaan.

“MPKj sudah menghubungi pemilik tanah untuk buat tindakan susulan sebaik laporan punca insiden diperoleh dijangka selewat-lewatnya dua minggu.

“Selepas keputusan (punca cerun runtuh) diperoleh, baru (pemilik tanah) boleh cari jalan penyelesaian sesuai bagi mengelak insiden sama berulang. Saya jangka dalam masa sebulan kerja pembaikan cerun bermula.

“Tetapi terpulang kepada komitmen pemilik tanah menanggung kos pembaikan. Jika mereka beri alasan tidak cukup peruntukan, kerja pembaikan mungkin tertangguh,” katanya kepada Selangorkini.

Ahli Dewan Negeri Balakong Ong Chun Wei meninjau cerun runtuh di Taman Cheras Mas, Cheras, Hulu Langat, Kajang pada 26 November 2023. Foto Facebook Ong Chung Wei

Beliau bagaimanapun berharap proses itu disegerakan demi menjamin keselamatan penduduk terutama 200 keluarga di dua blok pangsapuri berhampiran.

“Saya bimbang kerana jarak pangsapuri dengan cerun sangat dekat iaitu kira-kira 300 meter, apatah lagi kawasan itu tidak berpagar dan menjadi tempat parkir kenderaan penduduk,” katanya.

Sementara itu, Chun Wei memaklumkan MPKj sudah menutup kawasan runtuhan sebaik insiden berlaku kira-kira jam 5 pagi hari berkenaan selain melarang sebarang aktiviti di lokasi terbabit.

“Insiden juga tidak menyebabkan sebarang kecederaan penduduk dan kerosakan harta benda serta tidak terdapat kesan kegagalan struktur bangunan,” katanya menambah kali terakhir insiden berlaku 20 tahun lepas.

 


Pengarang :