Atlet boling padang mempamerkan aksi dalam Kejohanan Sukan Selangor (Sukses) edisi ke-14 di Gelanggang Boling Padang Sepang Perdana, Sepang pada 8 November 2023. Foto Facebook MSN Selangor
AGENSISELANGOR

Cuaca hujan tak jejaskan Kejohanan Sukan Selangor, Petaling raih sembilan pingat

SHAH ALAM, 9 NOV: Cuaca hujan terutama pada waktu petang tidak menjejaskan kerancakan Kejohanan Sukan Selangor (Sukses) yang memasuki hari ketiga.

Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor Mohamad Nizam Marjugi berkata sukan yang dipertanding dalam kejohanan edisi ke-14 itu berjalan mengikut jadual setakat ini.

“Hari ini beberapa acara sudah mula peringkat separuh akhir pada waktu pagi dan petang dengan lapan pingat emas ditawarkan masing-masing empat emas bagi acara berbasikal dan boling padang.

“Berdasarkan jadual asal, ada acara yang akan selesai pada Sabtu. Diharap cuaca menyebelahi kita supaya tiada masalah besar timbul,” katanya kepada Selangorkini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan ada beberapa atlet baharu daripada akar umbi dilihat berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi sejak Sukses membuka tirai kelmarin..

“Kita baru buka penyertaan Sukses kepada beberapa bakat baharu yang tidak mewakili daerah dan pasukan akar umbi di Selangor. Sudah sampai masanya mereka didedahkan kejohanan sebegini,” katanya.

Setakat 1 petang, Petaling mengungguli kedudukan dengan mengutip sembilan pingat membabitkan tiga emas, perak (lima) dan gangsa (satu), manakala Gombak kedua diikuti Sepang ketiga.

Sukses kembali dianjur hingga 19 November ini selepas tertangguh pada 2021 susulan pandemik Covid-19 dengan Hulu Langat dipilih sebagai tuan rumah.

Kejohanan dwitahunan itu mengetengah 109 acara seperti sukan olahraga, pencak silat, boling padang, ping pong, petanque, sepak takraw dan berbasikal, dengan 377 pingat ditawarkan.

Seramai 1,500 atlet berusia bawah 21 tahun terdiri daripada pelajar sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi (IPT) yang mewakili sembilan daerah negeri ini menyertai kejohanan kali ini.


Pengarang :