Pelumba negara Syarifuddin Azman meraih tempat kedua berganda pada Kejuaraan Dunia Junior GP di Litar de Barcelona di Sepanyol pada 12 Jun 2022. Foto Facebook ZK Racing
AGENDASUKANKINI

Damok, Azroy mahu pamer aksi terbaik di Sepang

KUALA LUMPUR, 9 NOV: Pelumba Moto3 negara Syarifuddin Azman mahu memanfaatkan sebaiknya kelebihan beraksi di laman sendiri serta cuaca hujan di Litar Sepang pada Kejohanan Motosikal Dunia (MotoGP) di Grand Prix (GP) Malaysia 2023, hujung minggu ini.

Pelumba dikenali sebagai Damok itu berkata tumpuannya dan pasukan kini terarah kepada persiapan jentera supaya berada dalam keadaan terbaik sesuai dengan cuaca, susulan kegagalan beliau menamatkan perlumbaan GP Australia akibat faktor cuaca, bulan lepas.

“Harapan saya untuk berada dalam kumpulan hadapan sebab saya sudah banyak kali berlumba di trek Sepang. Saya yakin pasukan saya akan beri 100 peratus untuk capai keputusan yang baik,” katanya ketika ditemui selepas sesi temu mesra di Dewan Filharmonik Petronas di sini hari ini.

Pelumba berusia 21 tahun yang beraksi bersama pasukan MT Helmets-Msi itu bertekad memberikan impak positif pada saingan di laman sendiri, sekali gus mahu memburu kedudukan podium di hadapan peminat tanah air.

“Ada kelebihan apabila hujan untuk pelumba Asia, jadi saya perlu fokus lagi untuk mencari ketetapan jentera yang lebih baik. Saya perlu persiapkan perkara itu lebih awal bagi membolehkan saya bersaing meraih podium kalau hujan hujung minggu ini,” katanya.

Sesi temu mesra itu turut disertai pelumba lain seperti Francesco Bagnaia dari pasukan Ducati Lenovo, Jorge Martin (Pramac Racing) dan Marco Bezzecchi (Mooney VR46 Racing).

Turut hadir dua pelumba tempatan yang mendapat wild card bagi perlumbaan kelas Moto2 iaitu Azroy Hakeem Anuar dan Helmi Azman yang beraksi bersama pasukan Petronas MIE Racing Honda di Sepang hujung minggu ini.

Sementara itu, Azroy Hakeem yang meraih tiket wild card buat kali kedua, berazam untuk berada dalam kelompok 10 teratas, sekali gus menggembirakan peminat tempatan.

“Saya harap boleh perbaiki prestasi tahun lepas dari segi masa sepusingan. Saya harapkan hujung minggu ini hujan, sekurang-kurangnya saya boleh bersaing di depan,” katanya.

Dalam pada itu, Helmi mengakui agak gementar untuk menggunakan jentera dalam kelas Moto2 berbanding jentera yang digunakannya dalam perlumbaan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC).

“Moto2 dengan jentera biasa guna jauh beza tapi trek ini kita punya. Saya pun ada banyak pengalaman berlumba di Sepang, jadi harap tiada masalah,” katanya sambil berharap peminat dapat hadir memberikan semangat kepada pelumba tempatan.

– BERNAMA


Pengarang :