Sekitar mesyuarat pertama (angkat sumpah) persidangan penggal pertama Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-15 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 19 September 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Dana besar penuhi keperluan pendidikan, sedia kepakaran masa depan

SHAH ALAM, 16 NOV: Peruntukan hampir RM100 juta dalam Belanjawan Selangor 2024 bagi pembangunan pendidikan dan bantuan persediaan pelajar diyakini memenuhi keperluan berkait isu itu di negeri ini.

Wakil rakyat Seri Serdang Abbas Azmi berkata ia membuktikan komitmen negeri menyediakan kepakaran masa depan untuk berbakti semula kepada Selangor selain mementingkan akses pendidikan kepada rakyat.

“Pelbagai inisiatif menarik berkaitan sektor pendidikan antaranya Bantuan Asas Yuran Universiti (Bayu) dengan peruntukan RM5 juta selain RM3 juta bagi Hadiah Pengajian Institusi Pengajian Tinggi Selangor iaitu antara yang tertinggi berbanding negeri lain.

“Ia termasuk peruntukan RM9 juta untuk Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor merangkumi peduli siswa, program khas dan pinjaman bolah ubah. Saya harus puji tindakan diambil Kerajaan Negeri yang memberi perhatian lebih kepada isu pendidikan,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini semalam.

Membahaskan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2024, Abbas berkata dana hampir RM359 juta diperuntuk bagi inisiatif bawah payung sosial membuktikan pentadbiran ini sedia menyediakan dasar yang mampu membantu golongan berkaitan mendepani masalah kehidupan.

“Sebagai contoh dasar ekonomi penjagaan, pembangunan wanita dan keluarga serta pelan tindakan pembasmian kemiskinan. Semua ini (dasar) menyentuh dan berkait dengan golongan rentan seperti warga emas, orang kelainan upaya (OKU) serta kanak-kanak.

“Dengan peruntukan yang besar, saya berharap Kerajaan Negeri benar-benar menyampaikan kesemua inisiatif dirancang supaya kesenangan dan kemudahan dapat dinikmati secara saksama oleh rakyat,” katanya.


Pengarang :