Pemilik Makanhubb Siti Aishah Mohammad Hanif menunjukkan produk makanan nya ketika di temu ramah Media Selangor di Taman Lembah Keramat, Kuala Lumpur pada 20 Oktober 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Dana khusus lahir lebih ramai usahawan wanita, bimbing teroka pasaran luar

SHAH ALAM, 11 NOV: Kerajaan Negeri berpendirian bahawa harus ada usaha khas bagi menggalakkan lebih ramai wanita menjadi usahawan dengan peruntukan dana RM3.3 juta.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu termasuklah meneruskan usaha melahirkan dan memberdaya usahawan melalui Dana Usahawan Mikro Selangor yang membantu sekurang-kurangnya 100 usahawan untuk memulakan perniagaan.

Seterusnya, komuniti usahawan akan dibimbing dengan latihan, promosi, pembangunan dan pengkomersialan produk bukan sahaja untuk berjaya dalam negeri tetapi meneroka pasaran luar.

“Program Liga Usahawan Wanita akan diperkasakan termasuk program Komuniti Belia Selangor bagi menggalakkan bantuan pada peringkat komuniti termasuk peringkat permulaan perniagaan, pengurusan kewangan, pemasaran serta penempatan produk,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2024 semalam.

Amirudin berkata lagi, bagi memacu ekonomi kreatif, Kerajaan Negeri merancang menambah nilai kepada penggiat industri kreatif yang semakin luas seperti seni reka bentuk, pereka fesyen, karyawan, pemuzik, dan bidang berkaitan.

“Industri ini juga ada ruang untuk diteroka bagi mengembangkan peluang meningkatkan nilai seni budaya dan warisan budaya supaya kekuatan negeri ini yang mempunyai pelbagai budaya dapat dijadikan nilai unik seterusnya menjadi tarikan di rantau Asia Tenggara.

“Bagi tujuan tersebut, sebanyak RM1 juta akan diperuntuk bagi memperkasa industri ekonomi kreatif di Selangor,” katanya lagi.


Pengarang :