Perbahasan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat pada 12 September 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Dewan Rakyat lulus Belanjawan 2024 di peringkat dasar hari ini

SHAH ALAM, 2 NOV: Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 (Belanjawan 2024) diluluskan di Dewan Rakyat di peringkat dasar hari ini selepas majoriti Ahli Parlimen menyatakan sokongan melalui undian suara.

RUU Perbekalan 2024 itu diluluskan ketika sesi mesyuarat dipengerusikan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Sesi undian dibuat selepas penggulungan perbahasan RUU berkenaan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekitar jam 6.50 petang tadi.

RUU Perbekalan 2024 adalah belanjawan kedua di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Pada 13 Oktober lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2024 dengan peruntukan sebanyak RM393.8 bilion iaitu jumlah perbelanjaan yang besar dalam sejarah belanjawan negara.

Daripada jumlah tersebut, RM303.8 bilion adalah untuk perbelanjaan mengurus, RM90 bilion sebagai perbelanjaan pembangunan manakala RM2 bilion pula disediakan untuk simpanan luar jangka.

Rang undang-undang itu dibahaskan selama lapan hari mulai 16 Oktober oleh 162 Ahli Parlimen dari blok kerajaan dan pembangkang dan digulung oleh semua 25 kementerian dan tiga Jabatan Perdana Menteri selama empat hari bermula Isnin lepas.

Menurut takwim Parlimen, perbahasan rang undang-undang berkenaan bagi peringkat jawatankuasa dijadualkan selama 12 hari bermula 6 November ini.


Pengarang :