Pemain Gombak FA Faizzudin Abidin (tengah) meraikan gol bersama rakan sepasukan ketika menewaskan AAK FC Puncak Alam 1-0 dalam perlawanan suku akhir Liga Juara Selangor di Arena MBSJ, Subang Jaya pada 25 November 2023. Foto Persatuan Bolasepak Selangor
AGENSISELANGOR

Dua juara kumpulan mara ke separuh akhir Liga Juara Selangor

SHAH ALAM, 27 NOV: Empat pasukan menempah tempat ke separuh akhir Liga Juara Selangor (SCL 2023) selepas menang peringkat suku akhir pada hujung minggu lalu.

Juara kumpulan A, Gombak FA terlebih dahulu mara selepas menewaskan AAK FC Puncak Alam 1-0 menerusi jaringan tunggal Faizzudin Abidin pada minit keempat.

Keputusan cemerlang turut dicatat naib juara kumpulan A, Kampong Bharu Boss FC yang menang penentuan penalti 6-5 mengatasi Kelana United selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sepanjang 80 minit permainan.

Sijangkang City FC yang turun selaku juara kumpulan B menundukkan Tebuan Kampung Pinang 2-1 bagi memastikan tempat ke peringkat seterusnya.

Ketinggal seawal minit ketujuh menerusi percubaan Ibrahim Muhamat, skuad bimbingan Zamri Hassan kembali menyusun permainan dan menyamakan kedudukan 1-1 hasil gol M Terrence diikuti jaringan sendiri Ibrahim pada minit ke-33.

Pengadil melayangkan kad merah kepada pemain Tebuan Kampung Pinang (dua, kanan) selepas mengasari pemain Sijangkang City FC dalam perlawanan suku akhir Liga Juara Selangor di Arena MBSJ, Subang Jaya pada 26 November 2023. Foto Persatuan Bolasepak Selangor

Sementara itu, dua gol Stuart Wark pada separuh masa pertama dan kedua membolehkan NPNG Damansara Perdana menang 2-1 ke atas Klang Frenz United yang terlebih dahulu di depan hasil jaringan Ali Amirun pada minit ke-22.

Separuh akhir SCL 2023 antara Gombak FA-NPNG Damansara Perdana dan Sijangkang City-Kampong Bharu Boss berlangsung pada 2 Disember mulai 8 dan 9.40 malam di Arena MBSJ, Subang Jaya.


Pengarang :