Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan ketika sidang media di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), pada 19 Ogos 2023. Foto Bernama
AGENDAJENAYAH

Dua lelaki godam papan menu pernah lakukan perbuatan sama, direman empat hari

RAWANG, 4 NOV: Dua lelaki yang disyaki menggodam papan menu digital sebuah restoran makanan segera di Kuala Langat dipercayai turut terlibat dengan aktiviti sama di sebuah lagi premis di sekitar kawasan berkenaan.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata siasatan awal mendapati modus operandi kedua-dua kejadian adalah sama dan siasatan lanjut masih dilakukan berkaitan kes terbabit.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Taman Angkat Skuad Aman Wanita (Amanita) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Selangor 2023 di Pusat Kegiatan Bandar Tasik Puteri, Rawang, Selangor di sini hari ini.

Sebelum ini, seorang pengurus sebuah restoran makanan segera membuat laporan polis memaklumkan papan menu makanannya telah digodam dengan tiba-tiba berubah kepada paparan gambar produk makanan mengandungi darah, bom, peluru dan tulisan “Proud Sponsors of Israeli Terorrism”.

Hussein berkata dua lelaki berumur 26 tahun itu ditahan di sekitar Petaling Jaya dan Kuala Lumpur pada Selasa lepas, dan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 selain turut merampas telefon bimbit kedua-dua suspek.

Beliau berkata kedua-dua suspek direman empat hari hingga esok bagi membantu siasatan.

Terdahulu, beliau berkata Polis Selangor ingin menambah kawasan liputan dan kekerapan rondaan di kawasan perumahan memandangkan ia lebih penting berbanding menambah bilangan balai baharu.

“Balai polis bukan dihadiri oleh orang awam pada setiap hari, jadi dengan adanya rondaan yang kerap dan kawasan liputan yang luas dalam konteks pencegahan jenayah lebih bermakna,” katanya dan menambah kini terdapat 11 Taman Angkat Amanita di Selangor.

– BERNAMA


Pengarang :