ADN Taman Templer Anfal Saari ketika ditemui Media Selangor di Pejabat EXCO Bangunan Suk pada 9 November 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

DUN Taman Templer bakal guna khidmat van-panggilan

SHAH ALAM, 10 NOV: Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer bakal menggunakan perkhidmatan van-panggilan bagi memudahkan pergerakan penduduk di kawasan jauh daripada capaian pengangkutan awam.

Wakil rakyatnya Anfaal Saari berkata perkhidmatan menggunakan aplikasi Kumpool itu akan memudahkan rakyat untuk merancang perjalanan.

“Buat masa ini, ada bas pengantara tetapi tidak melalui semua laluan. Ini mengakibatkan kesukaran kepada penduduk yang hendak pergi ke kerja kerana perlu mengambil perkhidmatan grab atau bantuan keluarga.

“Kita kini sedang dalam proses mengkaji pelaksanaannya dengan melihat beberapa DUN yang telah menggunakannya,” katanya kepada Selangorkini.

Kumpool Ride diperkenal bagi menyurai kesesakan trafik dan parkir dengan kadar RM1 untuk akses pengangkutan lebih mudah, selesa dan selamat setiap hari dari 8 pagi hingga 8 malam.

Antara DUN yang menggunakan perkhidmatan Kumpool Ride ialah Subang Jaya, Kampung Tunku dan Bukit Gasing.

Perkhidmatan itu meliputi lebih 200 hentian antaranya stesen bas dan LRT selain kawasan perumahan yang padat yang boleh dimuat turun di Apple Store atau Google PlayStore.


Pengarang :