AGENDANASIONAL

Eriza pertaruh Demi Kasih, harap debut tawan hati pendengar

SHAH ALAM, 5 NOV: Penyanyi muda Eriza membuat kemunculan sulung dalam industri muzik dengan mempertaruhkan single terbarunya Demi Kasih hasil tulisan Dato Ayu Omel.

Berusia 21 tahun, pemilik nama Ismar Eriza Allya menyifatkan lagu bergenre balada itu mempunyai daya ungkapan emosi mendalam sehingga tersentuh ketika menyampaikannya.

“Pemilihan Demi Kasih sebagai lagu debut kerana minat mendalam saya terhadap genre muzik balada dan mahu mencubanya.

“Ketika mendengar demo lagu ini, hati saya terus tertarik pada lirik dan melodinya kerana ia menggambarkan jiwa seorang wanita yang melalui detik sukar dalam hidupnya apabila terpaksa melepaskan seorang lelaki yang banyak berkorban untuknya,” katanya dalam kenyataan.

Penyanyi Eriza membuat debut dengan single terbarunya Demi Kasih hasil tulisan, Dato Ayu Omel. Foto D’Ayu Music

Mengakui tugas membawa lagu berkenaan agak mencabar, namun Eriza bersyukur bimbingan semua pihak di label D’Ayu Music memberikan keyakinan kepadanya untuk memberi yang terbaik bagi menawan hati pendengar.

Bagi Ayu Omel pula, Demi Kasih bakal membawa pendengar ke dalam pengembaraan melalui emosi yang sejati dan bakal menjadi pilihan hati semua.

“Walaupun masih menuntut di universiti, Eriza telah membuktikan bahawa mampu menguruskan masanya dengan baik dan menganggap perjalanan ini sebagai liku-liku yang perlu dilaluinya dalam meniti kerjaya dalam industri muzik yang mencabar ini.

“Eriza berada di landasan yang tepat untuk meraih kejayaan dalam dunia muzik dan kita berharap untuk menyaksikan perjalanan kerjayanya yang semakin cemerlang,” katanya.

Demi Kasih dilancarkan pada 13 Oktober lalu di semua digital streaming bersama Muzik Video di Youtube Channel D’Ayu Music.


Pengarang :