EXCO Pelaburan dan Perdagangan Ng Sze Han (empat kiri) bersama lima pemenang utama Selangor E-Commerce Xccelerator (ECX23) di Menara PNS Bangsar South pada 1 November 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Kekal peruntukan portfolio pelaburan, bantu promosi program Kerajaan Negeri

KUALA LUMPUR, 2 NOV: Peruntukan tinggi untuk portfolio pelaburan dalam belanjawan 2024 yang bakal dibentang 10 November ini dapat membantu meningkatkan nilai pelaburan negeri.

EXCO Pelaburan dan Perdagangan berkata antara program yang mampu merancakkan pelaburan negeri ialah Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS), Pameran Udara Selangor (SAS) dan program pembentangan usahawan digital.

Jelas Ng Sze Han, beliau berharap peruntukan diberikan sama seperti tahun ini kerana ia akan diagihkan kepada portfolio pelaburan yang kebanyakan diguna pakai untuk program promosi pelaburan.

“Ketiga-tiga program ini mempunyai sasaran berbeza tetapi satu matlamat iaitu menarik lebih ramai pelabur berkualiti untuk melabur di Selangor.

“Contohnya, penganjuran SAS akan membantu mempromosi industri angkasa sekali gus menjadikan Selangor hab aeroangkasa manakala program pembentangan pula membantu syarikat ini menaik taraf perniagaan mereka,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan majlis penutup program Selangor E-Commerce Xccelerator 2023 (ECX23) kohort pertama di Menara PNS di sini, semalam.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dijadual membentangkan Belanjawan Selangor 2024 dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) pada 10 November ini. Dewan dijadual bersidang dari 10 hingga 24 November.

Bagi belanjawan negeri tahun ini, sejumlah RM2.45 bilion diluluskan melibatkan perbelanjaan pengurusan berjumlah RM1.25 bilion manakala pembangunan pula RM1.2 bilion.


Pengarang :