EXCO Pengurusan Bencana Mohd Najwan Halimi bergambar bersama peserta latihan pengendalian bot dan keyakinan dalam air di Empangan Batu, Sungai Tua, Gombak pada 18 November 2023. Foto SITI ROHAIZAH ZAINAL/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

EXCO: Kerja naik taraf sistem tebatan, ban di kawasan risiko banjir giat dilaksana

GOMBAK, 18 NOV: Tindakan segera untuk menaik taraf sistem tebatan banjir dan ban terutama di kawasan berisiko tinggi berlaku banjir giat dijalankan, kata EXCO Pengurusan Bencana.

Mohd Najwan Halimi berkata pihaknya mengenal pasti lebih 200 kawasan berisiko dan langkah yang dilaksanakan itu diharap mengelak risiko berlaku bencana banjir.

“Dato’ Menteri Besar telah arahkan jawatankuasa infrastruktur dan semua agensi terlibat segera menaik taraf  ban dan sistem tebatan banjir.

“Perkara penting ialah pastikan insiden banjir tidak berulang atau paling tidak mengurangkan impak kejadian,” katanya ditemui selepas merasmikan latihan pengendalian bot dan keyakinan dalam air di Empangan Batu, Sungai Tua di sini, yang turut dihadiri EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari.

Latihan tersebut melibatkan seramai 138 peserta terdiri kakitangan pejabat daerah dan tanah, pihak berkuasa tempatan, Angkatan Pertahanan Awam Selangor, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dan Briged Ke-11 Infantri Malaysia.

Mengulas mengenai program, Mohd Najwan menjelaskan latihan tersebut sebagai persediaan semua agensi mendepani musim tengkujuh.

“Sepanjang tempoh tersebut, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan sebanyak empat hingga enam episod luruan monsun yang berisiko mengakibatkan kejadian hujan lebat yang dijangka berterusan sehingga Mac tahun depan.

“Latihan ini dapat memantapkan tahap keyakinan diri, meningkatkan kemahiran pengendalian bot dan dalam masa yang sama memantapkan keberkesanan komunikasi interagensi melalui latihan penggunaan rangkaian radio bersepadu kerajaan (GIRN),” katanya.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran empat hingga enam episod hujan lebat diramal berlaku sepanjang musim Monsun Timur Laut yang dijangka bermula pada 11 November dan berterusan sehingga Mac 2024.

Ketua Pengarah MetMalaysia Muhammad Helmi Abdullah berkata  episod hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan barat Sarawak semasa fasa awal Monsun Timur Laut dari Nov hingga Jan 2024.

Namun, sekiranya luruan monsun yang berlaku adalah kuat dan pada masa sama wujud sistem cuaca tekanan rendah, hujan lebat berterusan boleh berlaku di negeri-negeri lain di Malaysia.

EXCO Pengurusan Bencana Mohd Najwan Halimi dan EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari bergambar bersama peserta latihan pengendalian bot dan keyakinan dalam air di Empangan Batu, Sungai Tua, Gombak pada 18 November 2023. Foto SITI ROHAIZAH ZAINAL/SELANGORKINI

Pengarang :