SHAH ALAM, 5 NOV: Kerajaan Negeri menerusi Unit Pengurusan Bencana akan terus memantau kejadian bah di Kampung Bangi Lama, Hulu Langat bagi memastikan penduduk dalam keadaan selamat.
EXCO Pengurusan Bencana Najwan Halimi berkata setakat ini seramai 61 mangsa membabitkan 14 keluarga dilaporkan terjejas dan berada di pusat pemindahan sementara (PPS).
“Susulan insiden banjir di Kampung Bangi Lama, sebuah PPS telah dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Bangi yang menempatkan sebanyak 14 keluarga membabitkan 61 mangsa yang terjejas.
“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Kerajaan Negeri menerusi Unit Pengurusan Bencana akan terus memantau dan memastikan penduduk sekitar berada dalam keadaan selamat,” katanya menerusi ciapan aplikasi X.
Terdahulu, kira-kira 200 penduduk di Taman Semenyih Indah dan Kampung Bangi Lama dilaporkan terpaksa dipindahkan ke PPS akibat kejadian banjir, awal pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berkata operasi memindahkan mangsa bermula 4.30 pagi selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan.