EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim menjawab pertanyaan wakil rakyat ketika sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 20 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

EXCO: Projek tebatan Sungai Langat bermula Januari, atasi isu banjir sekitar Sepang

SHAH ALAM, 21 NOV: Sejumlah RM650 juta diperuntuk bagi melaksanakan rancangan tebatan banjir (RTB) Sungai Langat fasa 2 yang dijangka bermula pada Januari 2024 dan siap menjelang 2030.

EXCO infrastruktur berkata dana disalurkan Kerajaan Persekutuan itu bertujuan menyelesaikan masalah banjir di antara kawasan Dengkil hingga Labohan Dagang di Sepang.

“Projek RTB Sungai Langat fasa 2 dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan di bawah projek tebatan banjir berkeutamaan tinggi yang diberikan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia.

“Peruntukan RM650 juta adalah sebahagian permohonan sejumlah RM2 bilion dari Jabatan Pengairan Selangor bagi penyelesaian isu banjir secara menyeluruh di kawasan Sepang.

“Satu taklimat dan lawatan tender telah diadakan pada 16 Ogos 2023 dan kini sedang dalam proses penilaian tender. Projek ini dijangka bermula pada bulan Januari 2024,” kata Ir Izham Hashim.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Dengkil Datuk Seri Jamil Salleh mengenai perkembangan projek RTB Sungai Langat fasa 2 dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Izham berkata skop projek merangkumi pelebaran dan pendalaman Sungai Langat, pengukuhan dan penstabilan tebing serta menaik taraf sistem saliran utama.

“Turut dilaksanakan ialah pembinaan ban, pembinaan tembok penahan banjir, pembinaan pintu air dan pembinaan rumah pam,” katanya.


Pengarang :