Selangor Fruits Valley di Bestari Jaya menyediakan pelbagai daya tarikan kepada pengunjung yang ingin menikmati pelbagai jenis buah-buahan dan sayuran tempatan. Foto ihsan Tourism Selangor
AGENSISELANGOR

FAM Trip promosi keunikan Selangor kepada peserta RMSIR

LANGKAWI, 26 NOV: Aktiviti Tourism Selangor, Familiarization Trip (FAM Trip) Tour yang dianjur buat kali kedua berjaya menarik minat peserta Regatta Antarabangsa Raja Muda Selangor (RMSIR).

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Irsyad Ismail berkata program di Gamuda Cove, Kuala Langat itu menyediakan pelbagai aktiviti menarik di samping mempromosi lokasi pelancongan di Selangor kepada pengunjung luar negara.

“FAM Trip tahun ini adalah kali kedua kita anjurkan dan ia mendapat sambutan yang lebih baik.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Regatta Antarabangsa Raja Muda Selangor (RMSIR) Irsyad Ismail ditemui di Kelab Kapal Layar Diraja Langkawi, Kedah pada 25 November 2023. Foto AFIX REDZUAN/SELANGORKINI

“Tahun ini kita tambah aktiviti ke Gamuda Cove dan pamerkan beberapa makanan tradisional di samping aktiviti paintball serta ‘safari tour’,” katanya ditemui di Kelab Kapal Layar Diraja Langkawi, Kedah semalam.

Mengulas mengenai RMSIR, beliau berkata edisi ke-33 pada tahun ini memberikan cabaran berbeza buat peserta terutama dari sudut tiupan angin.

“Seperti tahun lepas, Regatta (RMSIR) sentiasa menjadi cabaran besar buat semua pelayar memandangkan ia berlangsung selama sembilan hari membabitkan empat destinasi iaitu Selangor (Klang), Perak (Pulau Pangkor), Pulau Pinang dan Kedah (Langkawi).

“Memang ada banyak cabaran terutama sekali apabila (berada) di laut. (Tiupan) angin pada tahun ini agak sukar untuk mereka berlayar.

“Dari segi acara pula kita telah membuat yang terbaik untuk semua peserta dan pelancong di sini.”

Destinasi pelancongan bersejarah Bukit Malawati di Kuala Selangor. Foto Facebook Tourism Selangor

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Azrul Shah Mohamad berkata pihaknya akan sentiasa menyokong kejohanan ini dan mempromosi tempat pelancongan menarik di negeri ini.

“Sebenarnya, ramai tidak tahu sukan kapal layar ini banyak menyumbang pingat emas kepada negara, daripada Sukan SEA dan harapan kita ke Sukan Olimpik.

“Kita mahu terapkan pelancongan sukan. Kita bukan sahaja melihat dari sudut pelayaran (sahaja) kerana pelayar-pelayar ini juga adalah pelancong.

“Mereka (pelayar) ini boleh kita katakan daripada golongan berpendapatan tinggi (T20) sebab mereka datang bawa keluarga dan menginap lama. Ada yang datang dua minggu malah sebulan,” katanya.

Taman Eko Rimba Chongkak Park Resort, Hulu Langat dibuka semula kepada orang ramai mulai 4 Jun 2022 selepas ditutup sejak tahun lalu bagi kerja naik taraf dan baik pulih. Foto Tourism Selangor

Pengarang :