PBTSELANGOR

Fiesta Bandar Diraja Klang 2023 anjur pesta makanan tradisi, jualan seni kraf

SHAH ALAM, 6 NOV: Orang ramai dipelawa menghadiri Fiesta Warisan Bandar Diraja Klang 2023 di Stadium Kota Raja Klang pada 25 dan 26 November ini.

Menurut Facebook Tourism Selangor, program anjuran Majlis Perbandaran Klang (MPK) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya itu dianjur sempena pengisytiharan Klang sebagai bandar raya.

“Antara aktiviti menanti pengunjung adalah pesta cendol dan pesta makanan tradisi secara percuma, persembahan kebudayaan pelbagai kaum, serta pameran dan jualan seni kraf.

“Turut dianjur perarakan Royal Klang Heritage Walk, pertandingan busana tradisional kanak-kanak, hari tanpa kenderaan serta promosi jualan produk industri kecil dan sederhana,” katanya.

Bulan lalu, Yang Dipertua MPK memaklumkan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu akan bertukar status kepada bandar raya pada 23 November ini.

Menurut Noraini Roslan pihaknya kini giat menaik taraf kemudahan awam lebih selesa khususnya jalan raya demi manfaat masyarakat.

Klang bakal menjadi PBT keempat di Selangor menerima status bandar raya selepas Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).


Pengarang :