Pemandangan udara keadaan aliran trafik semasa di Plaza Tol Gombak, Kuala Lumpur pada 24 April 2023 menghala ke Pantai Timur menunjukkan pertambahan kenderaan berikutan orang ramai mula pulang ke destinasi masing-masing selepas cuti umum sempena Hari Raya Aidilfitri. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Guna nombor kenderaan antara kaedah bayar tol akan datang

SHAH ALAM, 6 NOV: Pelaksanaan Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) yang menggunakan kaedah Pengecaman Nombor Pendaftaran Automatik (ANPR) akan mempercepat transaksi bayaran tol.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata Lembaga Lebuhraya Malaysia juga akan menggunakan sistem Pengecaman Frekuensi Radio (RFID) agar pengguna tidak perlu memandu perlahan atau menghentikan kenderaan.

“Kita selalu buat analisis tentang plaza tol terutama lorong Touch ‘n Go, SmartTAG dan RFID.

“Kita nak laksanakan MLFF dan letak RFID bersama ANPR supaya akan lebih laju dan dapat kesan nombor kereta sekali dengan pengguna. Kaedah ini mungkin lebih cepat dan efisyen apabila kita guna MLFM.

“Sebenarnya kita sudah buat kajian terhadap banyak negara dan mahu yang terbaik. Sekarang dalam proses kajian dan akan cuba pada 2024 untuk percubaan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) sama ada kerajaan bercadang melaksanakan sistem kutipan tol tanpa plaza tol dan palang.


Pengarang :