Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 16 (1) memasuki sekolah pada hari pertama pembukaan sekolah 2023/2024 pada 20 Mac 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Hampir 5,000 kes buli setakat Oktober, KPM cadang tambah guru disiplin

SHAH ALAM, 1 NOV: Sebanyak 4,994 kes buli berlaku di sekolah seluruh negara antara Januari hingga Oktober tahun ini, kata timbalan menteri pendidikan.

Merujuk data Sistem Sahsiah Diri Murid Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Lim Hui Ying menjelaskan jumlah itu meningkat bermula 2021 hingga 2023.

“Tahun 2021 rendah dengan 326 kes disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Jumlah meningkat mendadak ke 3,887 kes untuk 2022.

“Siasatan telah dijalankan untuk semua kes ini dan tindakan susulan telah diambil melalui bimbingan dan kaunseling,” katanya.

Menjawab soalan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (HARAPAN-Balik Pulau), Hui Ying menambah KPM berhasrat menambah jumlah guru kaunseling sekiranya kes buli terus meningkat.

“Memang (KPM) akan pastikan (guru kaunseling) akan ditambah sekiranya kes buli meningkat. Ini kerana mereka (yang terlibat dengan kes buli) perlu diberikan bimbingan sewajarnya.

“Mereka mesti diberi kesedaran dan bimbingan yang sepatutnya, untuk tahu mengapa mereka buli, ingin buli dan lakukan perbuatan buli,” katanya.


Pengarang :