Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Senator Fuziah Salleh (kiri) menunjukkan makanan yang ditawarkan dengan harga menu Rahmah pada Pelancaran Fiesta Food Truck Menu Rahmah sempena Program Jualan Rahmah Parlimen Pulai di Plaza Angsana, Johor Bahru pada 10 Mac 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Hampir 5,000 peniaga sertai program e-dompet, tingkat daya saing dalam pasaran

ALOR SETAR, 4 NOV: Sejumlah 4,898 peniaga telah didaftarkan di bawah kaedah pembayaran elektronik (e-dompet) menerusi Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga 30 Sept tahun ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Fuziah Salleh berkata program yang diperkenal sejak 2021 itu bertujuan menggalakkan digitalisasi dalam kalangan peniaga serta pengguna di Malaysia.

“Program ini juga adalah selari dengan inisiatif di bawah Rancangan Malaysia ke-12 dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) yang bertujuan mewujudkan masyarakat digital yang inklusif serta berdaya saing.

“Sejak program ini bermula pada 2021, ia telah berjaya mendaftarkan sejumlah 13,377 peniaga di seluruh negara,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata peningkatan jumlah penyertaan itu memberikan gambaran positif bahawa rakyat Malaysia sudah bersedia menerima perubahan daripada kaedah pembayaran tradisional kepada elektronik yang terbukti lebih efisien dan sistematik.

Fuziah juga berkata jenama ReDI akan terus dikembangkan dengan lebih meluas pada 2024 melalui pelaksanaan lebih banyak inisiatif baharu seperti ReDI Plus dan ReDI Referral yang dijangka memberi manfaat kepada lebih ramai kumpulan sasar.

“Kementerian berharap sinergi strategik Program ReDI dengan pemain industri peruncitan akan terus diperkukuh dalam inisiatif lain seperti Pasar RAHMAH dan Gaya Hidup RAHMAH yang akan diperkenal pada 2024,” katanya.

Terdahulu, beliau melepaskan para peserta Program ReDI 6 Hours Challenge Rakyat Digital di sebuah hotel di Langkawi yang menyaksikan mereka dikehendaki melaksanakan aktiviti advokasi dan promosi mengenai kaedah pembayaran elektronik kepada peniaga dalam tempoh enam jam.

— BERNAMA


Pengarang :