EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin diberi penerangan mengenai kaedah terbaru membunuh nyamuk aedes pada majlis perasmian Program Skaf MPKj (PBT pertama di Malaysia) di Dewan Perdana Kem PGA Cheras, Kajang pada 19 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Hapus Aedes: MPKj guna semburan gas lebih ringan, berupaya sebar lebih jauh

HULU LANGAT, 19 NOV: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) akan menggunakan kaedah terkini bagi mencegah pembiakan nyamuk di dalam bangunan termasuk penggunaan teknologi baharu, Mirakn.

Yang Dipertuanya Nazli Md Taib berkata produk Mirakn menggunakan konsentrasi karbon dioksida dengan semburan gas yang lebih ringan dan berupaya disebarkan lebih jauh dan komprehensif.

“Produk ini membolehkan PBT (pihak berkuasa tempatan) mengakses rumah yang berpenghuni dan tidak berpenghuni dengan lebih mudah dan cekap.

“Teknologi Mirakn sangat berkesan membunuh nyamuk terutama di kawasan rumah kosong atau rumah tinggal,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Yang Dipertua MPKj, Mohd Fareez Mohd Ariss@Mohd Hatta pada majlis pelancaran sukarelawan Killing Aedes From Inside (S-KAF) yang disempurnakan EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin di Markas Briged Tengah, PGA Cheras di sini, hari ini.

Demontrasi peralatan baharu untuk membunuh nyamuk aedes pada majlis perasmian Program Skaf MPKj (PBT pertama di Malaysia) di Dewan Perdana Kem PGA Cheras, Kajang pada 19 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Mengulas lanjut Nazli berkata teknik semburan Mistaway akan digunakan di kediaman strata dan bertingkat dengan peranti itu akan diletakkan dalam tempoh sekurang-kurangnya sebulan di satu-satu kawasan.

“Ia berupaya mengeluarkan empat kali semburan dalam sehari yang tidak berbau serta tidak meninggalkan kesan dan dilihat mampu menggantikan semburan racun termal (thermal fogging dan ULV) sekali gus memutuskan rantaian di sesebuah lokaliti wabak.

“Selain itu, turut digunakan kaedah Bimobet yang lebih bersifat biologi dan kos efektif dengan pengguna hanya perlu menambah air yang dicampur dengan Sumilarv (serbuk) ke dalam bekas Bimobet.

“Ia akan menarik perhatian nyamuk untuk bertelur dan akhirnya mati dalam bekas itu serta jentik-jentik akan mengalami kerencatan pertumbuhan,” katanya.

Mengenai S-KAF katanya ia adalah program kerjasama pintar dengan persatuan penduduk merangkumi sokongan bantuan teknikal, logistik dan bimbingan pemusnahan tapak pembiakan nyamuk.

“Projek rintis telah dimulakan dengan penyertaan 10 persatuan penduduk yang menerima bantuan teknikal kaedah memusnahkan nyamuk dan jentik-jentik iaitu semburan Mistaway, Mirakn dan Bimobet,” katanya.


Pengarang :