Kakitangan Heliosel memantau panel solar ketika majlis pelancaran program tenaga boleh diperbaharui untuk air dan kecekapan Air Selangor di Bukit Badong, Kuala Selangor pada 30 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Inisiatif tenaga lestari sedia bekalan air lebih selamat buat pengguna

KUALA SELANGOR, 30 NOV: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) melancarkan Visi Tenaga Net Zero 2040 ke arah penggunaan tenaga lestari di semua Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor.

Dato’ Menteri Besar berkata usaha yang menghasilkan tenaga boleh baharu itu mampu menyedia bekalan air terawat lebih bersih dan selamat kepada 9.1 juta pengguna termasuk Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, inisiatif tersebut juga bakal mengurangkan kos operasi Air Selangor sebanyak RM7 juta setahun berbanding RM387 juta yang perlu dibayar sebelum ini.

“Dengan pelaksanaan inisiatif ini, tenaga boleh baharu yang dijana bagi kegunaan sendiri bakal menjadikan Air Selangor sebagai pelopor tenaga boleh baharu berskala besar di Malaysia.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis pelancaran program tenaga boleh diperbaharui untuk air dan kecekapan Air Selangor di Bukit Badong, Kuala Selangor pada 30 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Usaha ini penting bukan sahaja atas faktor kos, namun sudah pasti kos salah satu sebab yang boleh dijimatkan,” katanya melancarkan inisiatif berkenaan di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Pembangunan) Dato’ Johary Anuar dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Ir Abas Abdullah.

Untuk rekod, LRA Sungai Selangor memiliki tiga fasa iaitu Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), SSP2, dan SSP3 yang merupakan antara LRA penting dalam membekalkan air terawat kepada seluruh negeri.

Sementara itu, Ir Abas berkata visi berkenaan menyasar penjanaan 1,460 GWh (gigawatt hour) tenaga elektrik hijau setiap tahun menjelang 2040 selain pelaksanaannya membabitkan tiga fasa.

Jelasnya, fasa pertama meliputi pemasangan panel solar selesai September lalu, manakala fasa dua pada 2025 hingga 2029 untuk memaksimumkan penggunaan tenaga boleh baharu kepada 52 peratus di LRA.

“Fasa ketiga bermula 2030 hingga 2040 melibatkan penggunaan kawasan takungan air untuk menjana lebih banyak tenaga boleh baharu bagi disalurkan kepada aset yang masih belum mencapai status sifar bersih,” katanya.


Pengarang :