SHAH ALAM, 15 NOV: Insentif penjagaan anak kepada wanita bekerjaya yang diperkenal Kerajaan Negeri pada 1 November lalu menerima sambutan menggalakkan selepas enam hari pelancarannya.
EXCO Pembangunan Wanita berkata inisiatif MamaKerja yang dibangunkan menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) kini ditutup selepas mencapai sasaran 5,000 permohonan.
“Kita terima sambutan yang sangat baik daripada wanita bekerja. Dalam tempoh enam hari, permohonan kita laris seperti pisang goreng panas.
“Mereka yang sudah berdaftar, boleh semak permohonan masing-masing dalam tempoh 14 hingga 21 hari selepas permohonan dibuat,” kata Anfaal Saari kepada Selangorkini.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Templer itu menambah, Kerajaan Negeri bagaimanapun belum berhasrat menambah bilangan kuota berikutan mahu melunaskan janji sedia ada terlebih dahulu.
“Belum lagi (untuk tambah kuota) kerana ini adalah manifesto kerajaan perpaduan. Jadi, kita tunai janji bagi jumlah yang ada dahulu,” katanya.
Bulan lalu, Kerajaan Selangor memperkenal insentif penjagaan anak bagi meringankan kos wanita bekerja yang memanfaatkan 5,000 wanita seluruh negeri.
Inisiatif MamaKerja yang mula dibuka bermula 1 November itu merupakan antara manifesto kerajaan perpaduan yang ditawar kepada rakyat Selangor pada pilihan raya negeri Ogos lalu.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/10/PSX_20231026_124226-500x333.jpg.webp)
Melibatkan peruntukan RM5 juta, skim tersebut layak dimohon wanita bekerja memiliki tiga anak berusia bawah 12 tahun dengan pendapatan isi rumah tidak lebih RM8,000.
Syarat kelayakan lain seperti berikut:
– Wanita bekerja dan bermajikan
– Rakyat Selangor (lahir di Selangor atau bermastautin di Selangor melebihi 10 tahun)
– Mengundi di Selangor
– Berpendapatan isi rumah RM8,000 ke bawah
– Individu yang mempunyai akaun Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
– Bukan penerima bantuan Asuh Pintar, Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) dan Tunas