Bangunan Parlimen Malaysia tersergam indah bagi persediaan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 ketika tinjauan pada 15 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Isu menara tanpa kuali, minyak paket bersubsidi antara dibincang di Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 2 NOV: Isu pendirian kerajaan berhubung Pandemik Triti Pertubuhan Kesihatan Sedunia Perjanjian Konvensyen (WHO CA+) dan pindaan Regulasi Kesihatan Antarabangsa (IHR 2005) antara dibincangkan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat menerusi laman sesawang Parlimen, perkara itu dibangkitkan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) kepada Menteri Kesihatan pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Pada sesi sama, Chiew Choon Man (PH-Miri) pula meminta Kementerian Komunikasi dan Digital menyatakan tindakan segera bagi mengatasi isu menara tanpa kuali (naked tower) di Sarawak supaya tidak lagi timbul masalah kekurangan perkhidmatan capaian Internet dan jaringan komunikasi.

Selain itu, Cha Kee Chin (PH-Rasah) bertanyakan sama ada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup akan menaikkan kuota 60,000 tan metrik minyak paket bersubsidi yang mula dilaksanakan sejak 2016, memandangkan pasaran runcit sentiasa menghadapi kekurangan bekalan, pada sesi soal jawab lisan.

Usai sesi itu, sidang Dewan Rakyat akan menyambung semula sesi penggulungan bagi peringkat dasar Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 oleh beberapa kementerian termasuk Kementerian Kewangan.

Perbahasan rang undang-undang tersebut bagi peringkat jawatankuasa dijadual selama 12 hari dari 6 hingga 27 November ini.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 32 hari bermula 9 Oktober hingga 30 November.

– BERNAMA


Pengarang :