Bangunan Parlimen Malaysia tersergam indah bagi persediaan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 ketika tinjauan pada 15 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Isu miskin tegar, beras tempatan kurang tumpuan Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR, 16 NOV: Perkembangan semasa berhubung hasrat kerajaan untuk menjadikan 2023 sebagai tahun menoktahkan kemiskinan tegar dijangka menjadi antara tumpuan persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman sesawang Parlimen, soalan itu diajukan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) kepada Menteri Ekonomi pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Beliau juga ingin tahu mengenai kadar kemiskinan terkini negara dan pendapatan isi rumah mengikut kaum pada 2022.

Selain itu, Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) bertanyakan Menteri Pengangkutan mengenai bilangan penerbangan dan pengendalian penumpang untuk lapangan terbang di Malaysia dan langkah kawal selia bagi melindungi pengguna daripada masalah kelewatan dan pembatalan penerbangan.

Pada sesi soal jawab pula, Gobind Singh Deo (PH-Damansara) meminta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan apakah rancangan kementerian untuk memastikan masalah kekurangan beras tempatan di seluruh negara tidak berulang.

Turut tersenarai, pertanyaan Zahari Kechik (PN-Jeli) yang meminta Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyatakan peruntukan bagi Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) dan kawasan yang terlibat, tempoh pelaksanaan projek ini dan pencapaian projek sehingga Jun 2023.

Usai sesi itu, Dewan Rakyat akan menyaksikan bacaan kali pertama Rang Undang-Undang Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2023 oleh Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim sebelum diteruskan dengan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 (Belanjawan 2024) peringkat jawatankuasa bagi kementerian berkaitan.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 32 hari bermula 9 Oktober lalu.

– BERNAMA


Pengarang :