SHAH ALAM, 30 NOV: Jualan Ehsan Rahmah (JER) kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) akan berlangsung di empat cawangan pasar raya Segi Fresh Sabtu ini.
Menurut Facebook Segi Fresh, program jualan murah barangan dapur seperti ayam, ikan dan minyak masak itu diadakan di cawangan Segi Fresh Kayu Ara, Ken Rimba, Bandar Teknologi Kajang dan Ara Damansara.
“Bersama Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), kami bekerjasama dalam misi memberikan manfaat kepada yang memerlukan terutama golongan berpendapatan rendah berikutan kenaikan kos sara hidup.
“Dapatkan barangan keperluan asas yang murah dan berkualiti di Segi Fresh,” kata pasar raya itu.
Produk ditawarkan antaranya ayam mentah RM6.99 sekilogram, daging kiub (RM10/pek), siakap (RM7 seekor), telur gred D (RM10 sepapan), tepung gandum (RM2/pek) dan minyak masak 5kg (RM25).
Kerajaan Selangor membelanjakan subsidi RM40 juta untuk melaksanakan jualan murah di 2,850 lokasi yang memanfaatkan lebih lima juta rakyat sehingga kini.