Pengunjung membeli barang keperluan asas di Jualan Ehsan Rahmah (JER) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang di Dewan Persatuan Penduduk Pangsuri PKNS Seri Serdang pada 14 November 2023. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jualan murah PKPS tawar kambing sejuk beku, susu segar

SUBANG JAYA, 14 NOV: Daging kambing sejuk beku dan susu segar asli antara produk terbaharu jenama Ehsan ditawar di Jualan Ehsan Rahmah (JER).

Ketua Penyelaras Jualan PKPS Nazif Zulkifli berkata program itu menjadi platform mempromosi barangan keluaran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

“Daging kambing dijual pada harga RM12 untuk pek 500 gram hingga 600 gram manakala susu segar RM3 untuk sebotol tetapi jika pelanggan beli empat botol mereka akan dapat harga promosi RM10.

Ketua Penyelaras Jualan PKPS Nazif Zulkifli

“Kami cuba perkenalkan produk ini di JER dan nampaknya semakin mendapat sambutan justeru sekiranya ada permintaan kita akan terus tawarkan produk ini di jualan murah,” katanya.

Beliau ditemui pada JER peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang di Dewan Persatuan Penduduk Pangsuri PKNS di sini.

Nazif menambah barangan itu juga terdapat di Wisma PKPS, Seksyen 14 Shah Alam, Ehsan PKPS (Seksyen 9 Shah Alam), Ehsan PKPS (Jalan Muafakat 1, Taman Dato Bandar, Meru) dan Kiosk Ehsan (Selangor Fruit Valley).

Menurutnya, sebanyak 400 ekor ayam standard disediakan, daging pejal segar (200 pek), ikan mabung (200 pek), telur gred B (300 papan), minyak masak lima kilogram (72 botol) dan beras lima kilogram (300 pek) ditawar pada JER kawasan berkenaan.

Jualan murah yang dijenamakan semula daripada Jelajah Ehsan Rakyat diteruskan hingga Disember ini dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Lokasi terkini JER boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR Jadual JER pada imej infografik PKPS atau rujuk pautan http://linktr.ee/myPKPS


Pengarang :