Mangsa banjir di Kedah menurun kepada 114 orang pada 1 Oktober 2023. Foto APM Negeri Kedah
AGENDANASIONAL

Jumlah mangsa banjir Kedah, Perak menurun malam ini

KUALA LUMPUR, 17 NOV: Jumlah mangsa banjir yang direkodkan di Kedah dan Perak malam ini mencatatkan penurunan dengan 128 mangsa masih ditempatkan di enam pusat pemindahan sementera (PPS) di kedua-dua negeri tersebut.

Di Kedah, jumlah mangsa menurun kepada 26 orang daripada lima keluarga, setakat jam 8 malam ini berbanding 249 daripada 81 keluarga pagi tadi, menjadikan hanya dua PPS masih beroperasi iaitu di daerah Kota Setar dan daerah Kubang Pasu.

Ketua Bahagian Sekretariat Pengurusan Bencana, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gajah di Kota Setar masih menempatkan enam orang (satu keluarga) manakala PPS SK Malau, di Kubang Pasu menempatkan 20 orang (empat keluarga).

“Kesemua mangsa banjir yang masih berada di dua PPS berkenaan mungkin akan dibenarkan pulang esok sekiranya tiada hujan malam ini dan air surut sepenuhnya esok.” katanya dalam kenyataan di sini.

Sementara itu, di Perak, jumlah mangsa di empat PPS menurun kepada 102 mangsa daripada 29 keluarga berbanding 107 mangsa daripada 31 keluarga pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak memaklumkan di Hilir Perak masih terdapat 18 mangsa daripada lima keluarga yang ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak.

Dalam pada itu, dua PPS di Kerian iaitu di PPS SK Changkat Lobak kekal menempatkan 18 mangsa (tiga keluarga) dan 57 orang (19 keluarga) di PPS SK Alor Pongsu.

Di daerah Kinta pula, jumlah mangsa yang berlindung di PPS Dewan Orang Ramai Taman Meru 2A juga kekal sembilan orang (dua keluarga).

– BERNAMA


Pengarang :