EXCO Belia Mohd Najwan Halimi menjawab pertanyaan wakil rakyat ketika sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 24 November 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Kadar belia menganggur di Selangor turun 1.3 peratus tahun lepas

SHAH ALAM, 24 NOV: Kadar pengangguran belia di Selangor menurun 1.3 peratus kepada 67,200 pada tahun lalu berbanding 94,800 orang untuk 2021, kata EXCO belia.

Mohd Najwan Halimi berkata jumlah pengangguran yang direkodkan mengikut Konsep Asas Tenaga Statistik Buruh bagi golongan belia yang berumur 15 hingga 30 tahun.

“Penganggur bermaksud mereka yang tidak bekerja dan sedang mencari pekerjaan manakala belia mengikut definisi Dasar Belia Malaysia adalah merujuk kepada penduduk dalam kumpulan umur 15 hingga 30 tahun.

“Untuk tempoh tahun 2018 hingga 2022 kadar pengangguran belia di negeri Selangor direkodkan antara 5.5 peratus dan 7.4 peratus,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Bukit Lanjan Pua Pei Ling mengenai kadar pengangguran belia di Selangor antara 2018 hingga 2023 dalam Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Najwan berkata pelbagai usaha dilaksanakan untuk membuka peluang pekerjaan dan menambah pendapatan rakyat terutama golongan belia di negeri ini.

“Melalui inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE), Kerajaan Negeri menyedikan subsidi sejumlah RM550 untuk menggalakkan anak muda menyertai ekonomi sampingan sebagai alternatif menjana pendapatan.

“Selain itu, antara tahun 2022 hingga 2023, Kerajaan Negeri menganjurkan tiga siri Karnival Kerjaya Mega Selangor iaitu pada bulan Jun tahun 2022 sebanyak 20,490 peluang pekerjaan disediakan dan Disember menawarkan 21,071 pekerjaan.

“Untuk siri tahun ini yang diadakan di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 17 hingga 18 Jun lepas mencipta 12,933 peluang pekerjaan,” katanya.

 


Pengarang :