Menteri Sumber Manusia V Sivakumar diiringi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melawat pameran selepas merasmikan program Jelajah Madani bersama menteri sumber manusia di Dewan Orang Ramai Kampung Melayu Wira Damai, Batu Caves, Gombak pada 5 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kadar kebolehpasaran kerja graduan TVET meningkat kepada 92.5 peratus

GOMBAK, 5 NOV: Kadar kebolehpasaran kerja graduan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) peringkat sijil hingga ijazah sarjana muda meningkat kepada 92.5 peratus pada 2022 berbanding 88 peratus tahun sebelumnya.

Menteri sumber manusia menjelaskan kebolehpasaran tinggi membuktikan penerimaan baik majikan terhadap graduan bidang terbabit bagi mengisi peluang kerja merentasi pelbagai sektor ekonomi dalam negara.

V Sivakumar berkata kerajaan akan mempergiat promosi program TVET seluruh negara melalui karnival, hebahan di pelbagai platform media sosial dan elektronik bagi menarik minat orang ramai khususnya lepasan sekolah memasuki latihan kemahiran.

Menteri Sumber Manusia V Sivakumar berucap pada program Jelajah Madani bersama menteri sumber manusia di Dewan Orang Ramai Kampung Melayu Wira Damai, Batu Caves, Gombak pada 5 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Kerajaan mengarusperdana latihan kemahiran TVET sebagai pilihan utama dengan membuka luas peluang latihan kemahiran kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan status sosioekonomi,” katanya di Dewan Orang Ramai Kampung Melayu Wira Damai, Batu Caves di sini.

Berucap sempena Jelajah Madani hari ini, beliau turut memaklumkan permohonan kemasukan ke 1,334 institusi TVET seluruh negara bagi sesi Januari 2024 dibuka bermula 30 Oktober hingga 13 November melalui pautan mohon.tvet.gov.my

“Saya mohon agar belia merebut peluang menceburi bidang TVET kerana kursus ditawarkan disesuaikan mengikut keperluan pasaran guna tenaga sekali gus menjamin peluang pekerjaan pada masa depan,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Menteri Sumber Manusia V Sivakumar (belakang, empat kanan) bergambar bersama penerima komputer riba pada program Jelajah Madani bersama menteri sumber manusia di Dewan Orang Ramai Kampung Melayu Wira Damai, Batu Caves, Gombak pada 5 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pengarang :