Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun hilang dan dikhuatiri terjatuh ke dalam longkang di Taman Goodwood, Bukit Palah pada 25 November 2023. Foto Facebook Bernama
AGENDANASIONAL

Kanak-kanak lelaki dua tahun hilang, dikhuatiri jatuh dalam longkang

MELAKA, 25 NOV: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun hilang dan dikhuatiri terjatuh ke dalam longkang di Taman Goodwood, Bukit Palah di sini hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka berkata pihaknya menerima panggilan pada 3.42 petang tadi sebelum sepasukan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh tiba di tempat kejadian beberapa minit kemudian.

“Menurut bapa mangsa, anak lelakinya berusia dua tahun disyaki terjatuh ke dalam longkang selebar 0.6 meter dan sedalam 1 meter.

Kerja mencari mangsa di sekitar kawasan kejadian dan di dalam longkang berkenaan masih dijalankan,” menurut pihak bomba.

Sementara itu, ibu mangsa, Nor Amiza Che Kar, 28, berkata anak bongsunya Muhammad Danish Mohd Faizal, 2, hilang ketika dia dan suami sedang berniaga nasi kerabu di lokasi kejadian.

Beliau berkata mangsa sedang bermain dengan anak ketiganya berdekatan longkang tersebut yang dipenuhi air berikutan hujan lebat sejak tengah hari.

“Saya hanya sedar kehilangan Muhammad Danish kira-kira 3.30 petang. Saya tanya anak ketiga tetapi dia tak tahu keberadaan adiknya itu.

“Hanya seliparnya sahaja yang kelihatan di kawasan berumput berdekatan longkang tersebut. Saya dan suami, Mohd Faizal Maarop, 38, cuba cari selama 20 minit tapi Muhammad Danish gagal ditemukan,” katanya.

Beliau berkata Muhammad Danish memakai baju berwarna biru ketika kejadian dan keluarganya memohon bantuan orang ramai bagi mengesan anaknya itu.

“Saya percaya Danish masih hidup. Tolonglah kalau ada sesiapa terjumpa Danish yang memakai baju biru di mana-mana, pulangkanlah kepada saya.

“Kami langsung tidak menyangka tragedi ini akan berlaku ketika sedang mencari rezeki. Saya sudah berniaga di sini sejak tiga tahun lalu,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :