AGENDAJENAYAH

Keluarga serah usaha pencarian guru hilang kepada pihak berkuasa

KULIM, 22 NOV: Keluarga Mohd Hafiz Jasmi, 38, yang dilaporkan hilang di kawasan rekreasi Sungai Sedim di sini sejak 8 November lalu, menyerahkan urusan pencarian kepada pihak berkuasa.

Adik kepada Mohd Hafiz, Mohamad Naquib, 30, berkata pihaknya merakamkan ucapan terima kasih atas keprihatinan masyarakat dan semua pihak yang membantu dalam pencarian abangnya itu yang juga seorang guru di sebuah sekolah di sini.

“Pelbagai spekulasi timbul berhubung kehilangan abang saya…macam-macam dakwaan…saya faham niat baik mereka untuk membantu, tetapi demi kebaikan bersama kami serahkan sepenuhnya urusan pencarian kepada polis.

“Ramai yang hubungi saya untuk membantu dan saya berterima kasih atas niat baik mereka, namun sebaiknya mereka menggunakan saluran yang betul bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini hari ini.

Beliau turut menyifatkan abangnya itu sebagai seorang yang ceria sama ada ketika bersama keluarga, rakan sekerja mahupun dalam kalangan anak muridnya.

“Saya dimaklumkan oleh guru di sekolah dia mengajar bahawa anak muridnya bertanya kenapa abang saya belum datang mengajar…mereka tertunggu-tunggu dan ini menunjukkan hubungan baik antara abang saya dengan anak muridnya,” katanya.

Sementara itu, ibu Mohd Hafiz, Zaiton Othman, 64, berharap agar anak sulung daripada lima beradik itu segera ditemukan.

“Saya reda macam mana pun keadaan dia…cuma saya berharap agar dia segera ditemukan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan kehilangan Mohd Hafiz yang juga dikenali sebagai Cikgu Hafiz, selepas dikatakan tiga hari tidak hadir ke sekolah selain penemuan kereta jenis Proton Saga miliknya di kawasan rekreasi Sungai Sedim.

Semalam, Ketua Polis Daerah Kulim Supt Mohd Azizul Mohd Khairi dilaporkan berkata operasi pencarian Mohd Hafiz ditamatkan pada hari kelima susulan terdapat maklumat baharu bahawa lelaki itu didakwa dilihat menaiki kenderaan lain sebelum beredar dari kawasan rekreasi tersebut.

Beliau berkata kes kehilangan Mohd Hafiz diklasifikasikan sebagai kes orang hilang dan setakat ini tiada unsur jenayah dikesan.

Mohd Azizul turut menasihatkan orang ramai supaya menghentikan pencarian di kawasan berkenaan kerana khuatir mendatangkan insiden yang tidak diingini terutama ketika musim tengkujuh ini.

– BERNAMA


Pengarang :