AGENDANASIONAL

Kemalangan tiga kenderaan, dua maut tertusuk muatan kayu

SHAH ALAM, 16 NOV: Seorang pemandu lori bersama kelindannya maut selepas terbabit kemalangan dengan dua kenderaan lain di kilometer 11 Jalan Dungun-Bukit Besi, dekat Kampung Serdang, petang tadi.

Kejadian kira-kira 3.30 petang itu menyebabkan Mohd Shahrul Hafif Abd Kadir, 37 dan kelindannya, Ridzuan Mohamad, 43, maut di tempat kejadian, lapor portal Berita Harian.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Maizura Abdul Kadir berkata kejadian berlaku ketika dua lori termasuk yang dinaiki mangsa dalam perjalanan menghantar bekalan kayu.

Ketika menghampiri simpang, katanya, lori dipandu rakan mangsa dikatakan berhenti untuk keluar ke kanan jalan, menyebabkan lori dinaiki mangsa hilang kawalan lalu merempuh belakang kenderaan terbabit.

“Rempuhan kuat menyebabkan lori di hadapan itu menggelungsur ke depan lalu dilanggar sebuah Proton Wira dipandu seorang lelaki berusia 31, dari arah Dungun ke Bukit Besi,” katanya.

Maizura berkata, kesan rempuhan kuat menyebabkan Mohd Shahrul Hafif dan Ridzuan tertusuk muatan kayu yang dibawa lori di depannya.

“Kedua-dua mangsa yang cedera parah pada dada meninggal di tempat kejadian.

“Mayat mereka dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat. Pemandu Proton Wira dan sebuah lagi lori yang cedera dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut,” katanya.


Pengarang :