Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) Dato’ Ramli Mohd Tahir ketika ditemu bual Media Selangor mengenai makluman terkini pengurusan sisa pepejal pascabanjir di pejabat KDEB, Shah Alam pada 27 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kemudahan teknologi tinggi tingkat kadar kitar semula menjelang 2025

SHAH ALAM, 14 NOV: Pembangunan fasiliti kitar semula berteknologi tinggi iaitu Selangor Recycle Surge (SRS) mampu membantu meningkatkan kadar kitar semula di negeri ini kepada 15 peratus menjelang 2025.

Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) berkata projek jangka panjang dengan peruntukan RM3 juta dilaksana secara berperingkat sekali gus mencapai sasaran dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

Dato’ Ramli Mohd Tahir menjelaskan pembinaan projek meliputi fasiliti pengumpulan bahan pemulihan (MRCF), pusat kitar semula komuniti, ‘Drop Off Recycling Centre’ dan pusat kitar semula pandu lalu automatik dengan mengaplikasi internet kebendaan (IoT).

“KDEBWM merancang menambah sekurang-kurangnya lima lagi fasiliti kitar semula. Pelaksanaan projek ini tertakluk peruntukan kewangan Kerajaan Negeri dan inisiatif dana swasta (PFI).

“Ia akan dilaksanakan melalui kolaborasi beberapa rakan strategik dan rakyat Selangor mendapat manfaat dengan penambahan fasiliti kitar semula melalui SRS ini,” katanya ketika dihubungi.

Tong kitar semula mengikut jenis di sediakan di Menara Bank Rakyat, Shah Alam pada 14 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Jumaat lalu, Dato’ Menteri Besar mengumumkan peruntukan RM3 juta bagi membangunkan fasiliti kitar semula SRS di setiap pihak berkuasa tempatan selaras selaras RS-1 untuk menyokong pemerkasaan amalan kitar semula.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu dijangka mengurangkan sampah yang dihantar ke pusat kitar semula sekali gus menjimatkan perbelanjaan negeri untuk membayar upah pelupusan sampah.

Sementara itu, Ramli menjelaskan projek kitar semula dimulakan sejak 2018 melalui pengoperasian MRCF di Jalan Korporat Meru, Klang sebelum diperluas di Bandar Bukit Puchong dua tahun kemudian.

Terbaharu pada 1 Julai lalu, katanya pengoperasian Bukit Changgang, Kuala Langat yang mampu mengumpul barang kitar semula dengan kapasiti maksimum sehingga 20 tan sehari.

“KDEBWM juga mengoperasikan pusat kitar semula komuniti di Cyberjaya bermula 1 Ogos 2022 selain mewujudkan ‘Drop Off Recycling Centre’ dengan kerjasama Lembaga Perumahan Hartanah Selangor di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Hicom dan beberapa di Hulu Selangor,” katanya.

 


Pengarang :