EXCO Belia Najwan Hilmi menjawab pertanyaan wakil rakyat ketika sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 17 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Kerajaan Negeri laksana pelan hala tuju industri kreatif

SHAH ALAM, 17 NOV: Kerajaan Negeri bakal melaksana Simposium Industri Kreatif bagi merangka pelan hala tuju sektor itu pada tahun depan.

EXCO Ekonomi Kreatif Najwan Halimi berkata pelan tersebut akan dibentuk berpaksikan tiga skop utama iaitu multimedia, seni budaya dan warisan budaya.

“Kerajaan Negeri menyedari industri kreatif ini dapat membuka peluang kepada kelompok masyarakat termasuk generasi muda untuk berkarya sama ada dalam aspek multimedia, seni reka atau seni budaya.

“Bagi tujuan tersebut, Kerajaan Negeri akan melaksanakan pelbagai bentuk program, latihan, promosi serta geran bantuan bagi menggalakkan dan menyokong usahawan industri kreatif di Selangor termasuk usahawan belia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 (Belanjawan Selangor 2024) dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.

Selain itu, Najwan berkata, Kerajaan Negeri akan melaksana program Pembangunan Usahawan Muda (SAY Belia) dengan kerjasama Selangor Youth Community (SAY) pada 2024.

Jelasnya, program selama enam bulan itu memberi fokus kepada usahawan belia yang memerlukan bimbingan untuk membangunkan perniagaan termasuk usahawan industri kreatif.

“Kerajaan Negeri merancang bekerjasama dengan institut pengajian tinggi bagi menggalakkan dan memberi bimbingan kepada mahasiswa membangun dan menguruskan perniagaan,” katanya.

Pada pembentangan Belanjawan Selangor 2024, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM1 juta bagi memperkasa industri ekonomi kreatif di Selangor.

 


Pengarang :