Oleh NAS NORZIELA NASBAH
SHAH ALAM, 28 NOV: Kerja baik pulih cerun dan tembok penahanan di Jalan 19, Taman Bukit Mewah, Kajang yang dilaksana secara teliti sejak sebulan lalu dijangka siap sepenuhnya empat bulan lagi.
Wakil rakyatnya Cheong Kian Young yang sentiasa memantau perkembangan projek berkenaan mendapati kerja menanam cerucuk lembaran di tiga bahagian cerun giat dijalankan.
“Kerja cerucuk lembaran telah dijalankan di tiga bahagian cerun iaitu tengah dan bawah hampir siap. Bagaimanapun untuk bahagian atas,ia masih memerlukan masa dua minggu untuk disiapkan.
“Namun, susulan beberapa unit rumah yang rosak strukturnya akibat pergerakan tanah masih berlaku memandangkan cuaca tidak menentu pada masa ini.
“Pihak kontraktor sedang berusaha sebaik mungkin untuk mengurangkan masalah pergerakan tanah tersebut supaya keadaan tidak semakin teruk,” katanya ketika dihubungi.
27 Oktober lalu, Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan kecemasan berjumlah RM10 juta bagi melaksanakan kerja pembaikan cerun dan tanah runtuh di Taman Bukit Mewah, Kajang.
EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata kejadian yang berlaku beberapa hari sebelum itu menjejaskan 27 kediaman.