Orang ramai mengunjungi reruai di Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2022 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 11 Disember 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Korea, China, Turki antara negara sertai Pesta Buku Antarabangsa Selangor

SHAH ALAM, 27 NOV: Korea, China dan Turki antara negara yang mengambil bahagian dalam Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2023 di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini pada 1 hingga 10 Disember.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) berkata sebanyak 272 reruai habis ditempah 156 syarikat penerbitan dari dalam dan luar negara untuk mempromosi naskhah masing-masing.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor Datin Paduka Mastura Muhamad berucap pada Pelancaran Yayasan Perpustakaan Raja Tun Uda di Perpustakaan Raja Uda pada 23 November 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Persediaan penganjuran SIBF setakat ini berjalan agak baik. Sebanyak 20 reruai diambil syarikat penerbitan antarabangsa antaranya Nepal, Indonesia, Azerbaijan, Filipina, Australia, Korea, Turki dan China.

“Cuma masih ada baki reruai khusus untuk usahawan kecil menjalankan perniagaan dengan 63 reruai disediakan,” kata Datin Paduka Mastura Muhamad.

Ditemui selepas majlis pelancaran Yayasan Perpustakaan Raja Tun Uda baru-baru ini, beliau berkata promosi sudah digerakkan ke seluruh sekolah bagi menarik lebih ramai pengunjung ke SIBF.

Selain jualan pelbagai jenis buku dengan diskaun menarik, sembilan pengunjung berpeluang membawa pulang hadiah wang tunai RM500 setiap hari.

Turut dianjurkan pertandingan nyayian lagu rakyat, mewarna dan kraf kad pop up.

Suasana sekitar ketika Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam pada 6 Disember 2022.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Julung kali dianjur tahun lalu, SIBF merupakan kesinambungan Pesta Buku Selangor yang dianjur Kerajaan Negeri selama 16 tahun.

SIBF 2022 mendapat penyertaan 225 pempamer tempatan dan antarabangsa antaranya United Kingdom, Turki, Korea Selatan, Mesir, Indonesia, Singapura serta China.

Selain itu, acara merekodkan kehadiran lebih 200,000 pengunjung manakala nilai jualan keseluruhan diperoleh lebih RM5 juta.

Gerai buku PTS Media Group mendapat sambutan di Pesta Buku Antarabangsa Selangor di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 5 Disember 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Pengarang :