Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Akmal Nasrullah Mohd Nasir. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KPKT sasar 20 projek rumah terbengkalai siap tahun depan

PUTRAJAYA, 16 NOV: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan 20 projek perumahan terbengkalai diselesaikan tahun depan.

Timbalan Menterinya Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata daripada jumlah itu, 16 projek terbengkalai dikenal pasti di Terengganu, Kelantan, Selangor, Perak dan Negeri Sembilan yang melibatkan 2,047 pembeli terjejas.

“Kalau tahun ini lapan projek terbengkalai (disiapkan), sasaran tahun depan adalah 20 (projek terbengkalai disiapkan),” katanya ditemui selepas merasmikan Seminar Pemulihan Projek Perumahan Swasta Terbengkalai 2023 di sini hari ini.

Seminar sehari itu disertai lebih 200 wakil agensi terdiri daripada pemaju perumahan, kontraktor penyelamat serta pelikuidasi untuk meneroka usaha pemulihan projek perumahan swasta terbengkalai.

Akmal Nasrullah berkata dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, terdapat 68 projek lewat, 476 projek sakit serta 111 projek disahkan terbengkalai.

Beliau berkata semua projek lewat, sakit dan terbengkalai membawa Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM79.03 bilion.

“Setakat tarikh tersebut, 301 projek atau 38,752 unit rumah dengan nilai GDV RM28.88 bilion berjaya dipulihkan. Jumlah ini turut meliputi pemulihan lapan projek perumahan swasta terbengkalai yang membawa nilai GDV RM574.08 juta sejak penubuhan pasukan TFST.

“Secara kumulatif sehingga tarikh tersebut, KPKT berjaya memulihkan 266 projek perumahan swasta terbengkalai melibatkan 67,773 unit rumah serta 46,229 pembeli,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :